top of page
Search

KOLEKSI SYILING PERINGATAN EMAS BERSEMPENA KEMENANGAN PAKATAN HARAPAN PADA PILIHANRAYA UMUM KE-14

KOLEKSI SYILING PERINGATAN EMAS BERSEMPENA KEMENANGAN PAKATAN HARAPAN PADA PILIHANRAYA UMUM KE-14 – BERPOTENSI TARIK MINAT MASYARAKAT ANTARABANGSA: MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN


23 MAC 2019 – SABTU HOTEL SOFITEL, KUALA LUMPUR





Menteri Pembangunan Usahawan, YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hadir melancarkan Koleksi Syiling Peringatan Emas Bersempena Kemenangan Pakatan Harapan Sewaktu Pilihanraya Umum Ke-14. Beliau menganggap Koleksi Syiling Peringatan Emas ini berpotensi untuk menarik minat masyarakat antarabangsa.


Menteri Pembangunan Usahawan sewaktu ucapan perasmian turut menyatakan: -

“Kejayaan Pakatan Harapan memenangi PRU-14 yang lalu merupakan detik yang cukup istimewa. Majoriti rakyat berkongsi keyakinan politik untuk melakukan perubahan – dan membuka lembaran baru dalam senario politik Malaysia”.


“Hari ini, YAB Tun Dr Mahathir merupakan tokoh yang sedang menikmati pengiktirafan dan penghormatan tinggi masyarakat antarabangsa. Kejayaan menerajui semula kerajaan buat kali kedua adalah sejarah politik yang luar biasa dan diakui masyarakat dunia.”


“Saya cukup yakin, dengan strategi pemasaran yang berkesan – syiling peringatan ini bukan sahaja boleh dimiliki oleh rakyat Malaysia, malah mampu menarik perhatian peminat antarabangsa.”


“Suka saya tegaskan, fokus YAB Perdana Menteri dan Kerajaan mutakhir ini terarah kepada usaha mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai “Harimau Asia” yang dihormati. Usaha memperkasa ekonomi dan mensejahtera kehidupan rakyat sedang dan akan terus diikhtiarkan oleh pihak kerajaan”.


Koleksi Syiling Peringatan Emas Tun Dr Mahathir Mohamad ini diusahakan oleh sebuah syarikat, Puncak Julung Enterprise. Syiling tersebut dijual dengan harga RM160 (ketulenan emas 999; seberat 0.1 gram).


Pengerusi Puncak Julung Enterprise, Dato’ Mohd Rodhi Abd Hamid menganggap pelancaran syiling peringatan ini mampu menggalakkan semangat patriotik di kalangan warga Malaysia.


“Kejayaan YAB Tun Dr Mahathir menerajui kemenangan dalam PRU-14 adalah sejarah yang wajar diingati oleh rakyat Malaysia. Syiling peringatan khas ini boleh dijadikan kenangan yang dikongsi bersama generasi akan datang”, ujar Dato’ Mohd Rodhi.


Mereka yang berminat untuk memiliki syiling peringatan tersebut boleh melayari laman web rasmi – https://tunmcc.com.my/ untuk membuat pembelian bermula daripada

23hb Mac 2019.


Muhammad Mahathir Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan

bottom of page